Tuesday 9 July 2013

Anak Lewat Bercakap Bahagian 1

Coretan Wardi Fathi Othman

Tiada kaitan jantina, mungkin petanda anak alami masalah pendengaran, autisme.

SEAKAN wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap.

Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?


Masalah bercakap hanya boleh ditentukan menerusi terapi pertututan-bahasa. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuknya kepada terapis itu kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu. 
- Dr Basyariatul Fathi Othman, Terapis Pertuturan Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM
Mengajukan persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Basyariatul Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah mitos.

“Kanak-kanak yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk pemilihan permainan.

“Budak perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu proses pembinaan pertuturan,” ” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ dari mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.

“Justeru saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepatkan mereka belajar perkataan baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.

Namun, bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?

“Kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami masalah.

“Masalah bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan-Bahasa kerana dalam setiap kes dirujuk. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.

2 comments:

  1. Ini artikel lama kan? Dalam Berita Harian dulu. Cayalah Kak Lang

    ReplyDelete
  2. Yes! artikel dr berita harian. :-)

    ReplyDelete