Monday 5 August 2013

Semuanya Bermula Di Rumah

Coretan : Wardi Fathi Othman

Assalamu'alaikum....
Salam ceria...
Salam Ramadhan....

Hari-hari berlalu tanpa disedari, kita hampir ke penghujung Ramadhan. Hanya tinggal beberapa hari lagi, kita akan menyambut Syawal. Persiapan untuk menyambut Syawal, nampaknya semakin rancak. Kelihatan di pusat membeli belah, ekspo dan kedai-kedai di penuhi dengan ibubapa, orang ramai yang mengambil kesempatan untuk membeli barang keperluan untuk menyambutnya.

Namun, dalam kesibukan persiapan berhari raya perlulah diingatkan supaya membeli secara berhemah. Jangan sedap membeli sehingga terlebih pula perbelanjaan. Sambutlah Adilfitri ini dengan kesederhanaan kerana Allah tidak suka pembaziran. Membazir itu sahabatnya syaitan.

Begitu juga dalam mendidik anak. Jangan terlalu keras, namun jangan pula terlalu lembut. Perlu kesederhanaan. Mendidik anak perlu ada 'role model'. 'Role model' yang terdekat dengan anak-anak adalah ibubapa sendiri.

Jika mahu anak-anak rajin membaca, maka ianya perlulah bermula dari rumah. Ibubapa sendiri perlu rajin membaca bersama anak-anak. Barulah anak-anak mendapat ransangan untuk rajin membaca di rumah.

"Cikgu, anak saya tak mau bacalah!"
"Setiap kali saya suruh anak membaca, mesti dia memberi seribu satu alasan untuk tidak membaca!"
Ini adalah ucapan yang kerap kali cikgu terima dari para ibubapa semasa perjumpaan atau pun semasa mereka datang ke tadika. Kenapa ya?

Membaca adalah sesuatu yang menyeronokan bagi mereka yang dapat menikmati apa yang dibaca. Membaca juga perlu untuk anak-anak menambah ilmu pengetahuan. Membaca adalah penting untuk meransang kecerdasan otak anak-anak (bukan saja anak2 tapi orang dewasa juga!)

Namun itu bukanlah syarat wajib untuk kita membaca. Bagi anak-anak, membaca perlu ada dorongan dan ransangan.

Bagaimana dorongan dan ransangan ini di lakukan? Selalu kita mendengar pepatah "Bapak borek, anak rintik" kan! Jadi, untuk memberi ransangan atau pun dorongan maka pepatah ini perlu diaplikasikan di dalam situasi rumah.

Bagaimana kita mahu anak-anak membaca di rumah, jika mereka melihat ibu atau bapa juga tidak membaca di rumah? Bagaimana mereka ingin membaca jika suasana di rumah tidak sesuai untuk mereka membaca? Maka di sinilah peranan ibubapa untuk mewujudkan budaya membaca di rumah! Ibubapa adalah contoh teladan yang paling baik untuk anak-anak!

Jika kita mahu anak-anak rajin membaca ketika di rumah, maka ianya perlulah dimulakan oleh ibu bapa itu sendiri. Kepada ibubapa, cikgu menyarankan, peruntukan sedikit masa dan kewangan untuk meransang minat anak-anak membaca! Belilah bahan bacaan yang sesuai untuk mereka dan juga ibubapa, peruntukanlah sedikit waktu dalam seminggu untuk membaca bersama-sama dengan anak-anak.

Untuk anak-anak yang masih kecil, masih tidak tahu membaca, maka ibubapa boleh membacakan buku kegemaran mereka. Wujudkan suasana membaca menjadi suasana yang menceriakan.

No comments:

Post a Comment